Friday, 14 April 2017

Adab Ketika Berkomunikasi

      Definisi komunikasi itu sangat luas. Ia tidak terhad kepada proses pertuturan semata-mata, tetapi ia juga merangkumi proses penulisan. Sejak di bangku sekolah lagi, manusia telah diajar dan dilatih mengenai adab-adab untuk berkomunikasi dengan betul. Namun, jika kita tinjau situasi yang berlaku pada hari ini, kebanyakan individu tidak mengaplikasikan ilmu yang telah dipelajari mereka dalam kehidupan seharian. Mereka sering kali mengabaikan penggunaan bahasa yang betul ketika berkomunikasi dengan orang luar. Tahukah anda bahawa bahasa itu dapat mencerminkan peribadi seseorang? Melalui penggunaan bahasa yang beradab, kita sebenarnya bukan sahaja dapat menonjolkan diri kita sebagai seorang insan yang berilmu, tetapi pada masa yang sama, kita juga dapat menaikkan taraf bahasa kebangsaan kita di persada dunia. Namun, mengapa kita dapati majoriti masyarakat pada hari ini tidak menggunakan bahasa yang beradab ketika berkomunikasi?

      Pada pandangan saya, perkara ini berpunca daripada budaya orang Melayu yang terlalu suka akan perkara yang mudah sehinggalah mereka terbawa-bawa untuk menggunakan bahasa yang "mudah" ketika berkomunikasi dengan orang. Contohnya, terdapat ramai pengguna Instagram, Twitter dan Facebook yang terlampau suka menggunakan bahasa tidak formal seperti bahasa slanga. Istilah-istilah baru telah dicipta untuk tujuan publisiti. Antara istilah tersebut ialah pishang, awek, cikaro, dan sebagainya. Istilah-istilah tersebut kemudiannya digunapakai oleh pengguna-pengguna laman sosial lain dengan alasan mereka mahu mengikut trend. Selain itu, terdapat juga pengguna yang menggunakan ejaan yang tidak betul semasa memuat naik status ke laman sosial. Perkataan seperti 'tak' dieja dengan menggunakan simbol 'x'. Tidakkah kita sedar bahawa budaya kita yang terlampau suka menggunakan bahasa "mudah" ini akan menyebabkan orang luar mentertawa-tawakan kita dalam senyap?

      Oleh itu, saya ingin menyeru kepada orang ramai supaya sentiasa perbaiki bahasa anda tidak kiralah dengan siapa pun anda berbicara. Hentikanlah segala bentuk penyingkatan ejaan. Gunakan ejaan penuh ketika memuat naik status ke laman sosial. Sekiranya anda terlihat rakan-rakan anda mencipta istilah yang pelik-pelik, tegurlah mereka. Jangan pula anda terikut-ikut sekali untuk menggunakan istilah-istilah tersebut. Janganlah gara-gara mahu mengikut trend, anda terjebak sekali untuk menggunakan bahasa yang tidak betul, Elakkanlah segala bentuk pencemaran bahasa kerana bahasa itu dapat mencerminkan adab kita. Adab pula mencerminkan peribadi kita, sama ada peribadi yang positif ataupun sebaliknya. 

Setakat itu sahaja entri saya pada hari ini. Terima kasih kerana membaca. Semoga kita bertemu lagi di entri berikutnya. Insha Allah.

Thursday, 30 March 2017

Alhamdulillah

Pagi tadi, aku dan dua orang rakanku telah ke Kompleks Bukit Jambul untuk makan tengah hari di Classic Bowl Steamboat. Kami telah bertolak seawal 10.30 pagi dari USM dengan menaiki bas. Semasa kami menunggu bas, aku telah menerima beberapa pesanan dari ahli kumpulanku mengenai tugasan yang perlu dihantar selewat-lewantnya pada pukul 3 pagi esok. Kami menjadi risau apabila mengenangkan betapa banyaknya tugasan yang perlu disiapkan. Namun, demi mengisi perut yang kelaparan, hasrat aku dan dua orang rakanku untuk makan di Kompleks BJ tetap diteruskan juga. Kami tiba di Kompleks BJ seawal 11 pagi. Kami sangat kecewa apabila mendapati bahawa restoran tersebut masih belum beroperasi lagi. Jadi, kami mengambil keputusan untuk "mencuci mata" terlebih dahulu di sekitar pusat beli belah itu, dan balik semula ke restoran tersebut pada pukul 12 tengah hari. Selepas makan, kami menggunakan perkhidmatan student cab untuk pulang ke desa masing-masing. Sesampai sahaja di desa, perutku memulas disebabkan sup tomyam yang sangat pedas tadi. Selepas menunaikan solat zuhur, aku meletakkan kepala sebentar, dan bangkit semula pada pukul 5 petang. Alangkah terujanya aku apabila mendapat berita daripada teman-teman bahawa kuliah Morfologi dibatalkan. Ini berereti aku mempunyai banyak masa lagi untuk menyiapkan tugasan Dr. Odi. Alhamdulillah.

Wednesday, 29 March 2017

Teruja

Rancanganku untuk diet gagal lagi. Hari ini aku telah mencabar diriku untuk makan pecal di Kafe Restu. Aku berasa agak menyesal selepas makan pecal tersebut. Ini kerana kepedasan kuah sambalnya membuatkan mulutku berasa kebas. Oleh itu, aku berjanji bahawa aku tidak akan lagi membeli pecal di Kafe Restu. Sejujurnya, aku lebih sukakan pecal Tekun kerana ia tidak terlampau pedas seperti pecal Restu. Lidahku juga tidak berasa kebas sebaik sahaja sambalnya terkena pada lidahku. Tetapi, sebagai seorang yang gemarkan makanan pedas, aku dan dua orang rakanku telah bercadang untuk ke Classic Steamboat pagi esok. Ini kerana kami bertiga telah lama mengidam untuk makan tomyam seafood. Tolong doakan semoga rancangan kami berjalan dengan lancar esok hari. Amin,

Tuesday, 28 March 2017

Kurangkan Gula

Rancanganku untuk makan pecal di Kafe Restu tidak kesampaian hari ini. Mungkin aku tidak akan berpeluang untuk merasai pecal di Kafe Restu sampai bila-bila. Ini kerana, aku telahpun berniat untuk meneruskan semula agenda dietku yang sudah tertangguh selama dua bulan. Oleh itu, aku bercadang untuk membeli nasi campur sahaja setiap kali tiba waktu makan tengah hari. Aku juga akan berusaha untuk mengurangkan kuantiti nasi dan lauk-pauk. Aku berharap, kali ini aku tidak akan gagal lagi. Sesungguhnya, untuk mempraktikkan gaya hidup sihat itu amatlah susah. Tambahan pula, aku seorang yang cintakan makanan manis. Setiap pagi, aku pasti akan turun ke bawah untuk membeli minuman tin latte dari mesin. Pada waktu malam pula, aku akan berjalan ke Dataran Usahawan di Tekun untuk membeli Teaffee. Aku sangat kecewa dengan tabiatku yang suka akan makanan manis. Makanan manis bukan sahaja menggemukkan, tetapi ia juga akan mendatangkan kesan buruk kepada kesihatan kita tanpa pengambilan yang terkawal. Oleh itu, aku juga ingin menasihati anda semua supaya tidak mengambil makanan yang tinggi kandungan gulanya secara kerap. Marilah kita bersama-sama mempraktikkan gaya hidup sihat!

Monday, 27 March 2017

Pecal

Pecal, atau Nasi Ayam Penyet merupakan salah satu menu yang cukup popular dalam kalangan pelajar Universiti Sains Malaysia. Ia merupakan antara menu yang menjadi kegemaran pelajar-pelajar di sini, termasuklah aku. Setiap pelajar yang menghuni di Desasiswa Restu,Tekun dan Saujana sudah pasti pernah merasai keenakan juadah ini. Aku masih ingat lagi, dahulu, hampir setiap hari aku ke kafe Tekun untuk membeli pecal selepas kelas tamat. Ia merupakan suatu kemestian bagi penghuni, atau bekas penghuni Desasiswa Tekun seperti aku untuk merasai juadah tersebut. Kini, sudah hampir dua penggal aku menghuni di Desasiswa Restu, tetapi aku masih belum berpeluang untuk merasai pecal yang dijual di Restu. Menurut beberapa orang rakanku, rasa pecal Tekun lebih enak daripada pecal yang dijual di Restu. Jadi, esok aku merancang untuk merasai pecal di Kafe Restu pula, dengan harapan supaya aku tidak sakit perut pada keesokan paginya. Insha Allah. Sehingga berjumpa lagi di entri seterusnya. Assalammualaikum.

Saturday, 25 March 2017

Rezeki

Hari ini, rezeki datang tanpa diduga. Pensyarahku telah membelanja aku dan dua orang rakan kelasku makan tengah hari. Sebenarnya, aku dan dua orang ahli kumpulanku telah mengadakan diskusi di perpustakaan seawal jam 11 pagi lagi. Lebih kurang satu jam kemudian, kami ternampak Dr. di kaunter perpustakaan. Jadi, kami mengambil keputusan untuk bertanya kepada Dr. mengenai tajuk pembentangan kerana kami kurang jelas dengan kehendak soalan tersebut. Selesai bertanya, kami kembali berbincang sehinggalah pukul 1 tengah hari. Pada jam 1.20 tengah hari, Dr. telah mempelawa kami untuk makan tengah hari bersamanya. Kami pun bersetuju. Dr. membawa kami ke restoran nasi kandar yang berdekatan, dan akibatnya, kami telah kekenyangan sehingga keesokan harinya. Oleh kerana mahu cepat, salah seorang ahli kumpulanku, Wani telah tertukar beg dengan salah seorang pelajar yang juga berkunjung ke perpustakaan tersebut. Mujur, pemilik beg itu tinggal di desasiswa Restu. Oleh kerana aku juga merupakan penghuni desasiswa Restu, jadi aku menawarkan bantuan kepada Wani untuk menukarkan begnya dengan pelajar tersebut. Terasa lucu pula apabila difikirkan kembali. Walau apa pun, aku dan rakan-rakanku sangat berterima kasih kepad Dr. kerana telah membelanja kami makan. Aku doakan supaya Dr. dimurahkan rezeki selalu. Insha Allah. Amin.

Friday, 24 March 2017

Sibuk

Sebagai seorang pelajar major Bahasa Melayu, aku tidak pernah lari dari kesibukan. Sebagai contohnya, kelmarin, sebaik sahaja aku pulang dari kelas, aku terus mengambil tempat di hadapan komputer ribaku sebaik sahaja selesai membersihkan diri. Aku dan rakan kelasku ditugaskan untuk menyediakan kuiz dengan menggunakan Google Form dan sejenis pembina kuiz talian percuma. Sejujurnya, walaupun ia merupakan pengalaman yang agak sukar bagiku, kerana itulah kali pertama aku menggunakan Google Form, tetapi setidak-tidaknya aku telah mempelajari sesuatu yang baharu. Aku mengambil masa kira-kira tiga jam untuk menyiapkan kuiz dan memuatnaiknya ke padlet seperti yang diarahkan oleh pensyarahku. Mungkin selepas ini, aku boleh menggunakan Google Form untuk membuat survey dan sebagainya pula.