Tuesday, 28 February 2017

Ketagih

Melihat kepada tajuk entri aku pada hari ini, aku pasti setiap orang akan terfikir mengenai dadah, rokok dan seumpamanya, tetapi bukanlah dadah atau rokok yang aku maksudkan di sini. Hari ini aku ingin berkongsi dengan kalian semua mengenai masalah ketagihan aku terhadap kafein. Bercakap soal kafein, pasti kalian akan terfikir mengenai kopi, bukan? Untuk pengetahuan semua, pada awalnya, aku tidak begitu menggemari kopi kerana ia membuat aku berasa pening. Selain menyebabkan bau nafas yang kurang menyenangkan, aku juga tidak suka akan kopi kerana kandungan kafein di dalamnya yang cukup tinggi. Walaubagaimanapun, lama-kelamaan, aku jatuh cinta akan kopi kerana rasanya yang cukup enak! Antara minum kopi yang menjadi kegemaranku ialah latte, mocha dan cappucino, Sebagai bukti untuk menunjukkan bahawa aku merupakan penggemar kopi yang tegar, jadi, aku sertakan di sini sekeping gambar yang aku ambil petang tadi sewaktu menjamah minuman petang. Sehingga berjumpa lagi di entri seterusnya. 

Monday, 27 February 2017

Penat

Hari ini merupakan hari yang sangat memenatkan. Aku bertolak pulang dari rumahku yang terletak di Penaga sekitar pukul 6.30 pagi dan selamat tiba di USM pada kira-kira jam 9 pagi. Perjalananku dari Penaga tidak mengambil masa yang begitu lama untuk sampai ke USM. Sebaik sahaja tiba di USM, aku segera menelefon emak untuk memberitahunya bahawa aku telah selamat sampai di USM. Walaupun aku sering pulang ke rumah, tetapi perasaan rindu akan emak masih tetap tidak berkurang. Mungkin oleh sebab itu, aku sering dilabel sebagai anak manja. Aku tidak kisah apa sahaja yang hendak dikata oleh orang di sekelilingku. Bagiku, keluarga itu penting. Tambahan lagi, aku merupakan anak perempuan tunggal dalam keluargaku. Adik-adik lelakiku tidak pernah lekat di rumah. Ayahku pula sentiasa sibuk dengan kerjanya. Oleh itu, sekiranya aku pulang, tidaklah emak berasa sunyi. Sesungguhnya, aku amat berharap supaya aku dapat pulang ke rumah lagi pada minggu ini walaupun cuma sebentar.

Friday, 24 February 2017

Lukisan Grafik

Sudah lama aku bercita-cita untuk memuat naik lukisan grafik atau graphic arts yang aku telah hasilkan ke blog ini tetapi hajatku masih belum pernah kesampaian akibat kekangan masa yang tidak dapat dielakkan. Kebetulan pula, hari ini aku mempunyai sedikit kelapangan masa, jadi, aku ingin berkongsi dengan kalian semua beberapa hasil lukisan grafikku yang tidak seberapa. Kesemua lukisan grafikku ini dihasilkan melalui perisian "Paint Tool SAI". Bagi sesiapa yang belum pernah mendengar atau mengetahui tentang "Paint Tool SAI", sila nantikan entri aku yang seterusnya pada hari Sabtu ini. Insha Allah.

Thursday, 23 February 2017

Emak


Emak selalu memberitahuku; bagaimana susah dan peritnya pengalaman emak melahirkanku. Kata emak, emak terpaksa menahan sakit selama tujuh jam sebelum melahirkan aku ke dunia ini. Pada tanggal 28 November 1995, kira-kira jam 12 tengah hari, emak dimasukkan ke wad setelah doktor mengesahkan bahawa emak telah menunjukkan tanda-tanda awal mahu bersalin. Walaupun telah ada tanda-tanda mahu melahirkan pada masa itu, namun emak masih belum berasa sakit.

Setelah hampir lima jam emak dimasukkan ke wad, tanda-tanda sakit masih juga belum kelihatan. Jadi, kira-kira pada pukul lima petang, doktor terpaksa mengambil langkah untuk memasukkan air bagi memudahkan proses kelahiran. Kata emak, selepas prosedur itu, dia berasa sakit yang amat dasyat. Menurut emak lagi, itulah kali pertama emak merasakan kesakitan yang amat dasyat sekali dalam hidupnya. Tepat pada pukul 11.58 malam, emak selamat melahirkan aku ke dunia ini.

Aku tidak boleh membayangkan betapa peritnya kesakitan yang dialami oleh emak apabila dia terpaksa menahan sakit selama tujuh jam semata-mata untuk melahirkan aku ke dunia ini. Jujur, timbul perasaan takut dalam diri ini acap kali aku mendengar cerita emak. Namun, aku sangat kagum dan berterima kasih kepada emak kerana emak tetap kuat bertahan demi memberikan aku peluang untuk melihat dunia ini.

Sesungguhnya, aku tidak mungkin dapat membalas jasa dan pengorbanan emak melahirkan serta membesarkanku sehingga ke akhir hayatku, tetapi aku berjanji aku akan sentiasa membuat emak bahagia. Insha Allah.