Thursday, 23 February 2017

Emak


Emak selalu memberitahuku; bagaimana susah dan peritnya pengalaman emak melahirkanku. Kata emak, emak terpaksa menahan sakit selama tujuh jam sebelum melahirkan aku ke dunia ini. Pada tanggal 28 November 1995, kira-kira jam 12 tengah hari, emak dimasukkan ke wad setelah doktor mengesahkan bahawa emak telah menunjukkan tanda-tanda awal mahu bersalin. Walaupun telah ada tanda-tanda mahu melahirkan pada masa itu, namun emak masih belum berasa sakit.

Setelah hampir lima jam emak dimasukkan ke wad, tanda-tanda sakit masih juga belum kelihatan. Jadi, kira-kira pada pukul lima petang, doktor terpaksa mengambil langkah untuk memasukkan air bagi memudahkan proses kelahiran. Kata emak, selepas prosedur itu, dia berasa sakit yang amat dasyat. Menurut emak lagi, itulah kali pertama emak merasakan kesakitan yang amat dasyat sekali dalam hidupnya. Tepat pada pukul 11.58 malam, emak selamat melahirkan aku ke dunia ini.

Aku tidak boleh membayangkan betapa peritnya kesakitan yang dialami oleh emak apabila dia terpaksa menahan sakit selama tujuh jam semata-mata untuk melahirkan aku ke dunia ini. Jujur, timbul perasaan takut dalam diri ini acap kali aku mendengar cerita emak. Namun, aku sangat kagum dan berterima kasih kepada emak kerana emak tetap kuat bertahan demi memberikan aku peluang untuk melihat dunia ini.

Sesungguhnya, aku tidak mungkin dapat membalas jasa dan pengorbanan emak melahirkan serta membesarkanku sehingga ke akhir hayatku, tetapi aku berjanji aku akan sentiasa membuat emak bahagia. Insha Allah.

No comments:

Post a Comment