Thursday, 30 March 2017

Alhamdulillah

Pagi tadi, aku dan dua orang rakanku telah ke Kompleks Bukit Jambul untuk makan tengah hari di Classic Bowl Steamboat. Kami telah bertolak seawal 10.30 pagi dari USM dengan menaiki bas. Semasa kami menunggu bas, aku telah menerima beberapa pesanan dari ahli kumpulanku mengenai tugasan yang perlu dihantar selewat-lewantnya pada pukul 3 pagi esok. Kami menjadi risau apabila mengenangkan betapa banyaknya tugasan yang perlu disiapkan. Namun, demi mengisi perut yang kelaparan, hasrat aku dan dua orang rakanku untuk makan di Kompleks BJ tetap diteruskan juga. Kami tiba di Kompleks BJ seawal 11 pagi. Kami sangat kecewa apabila mendapati bahawa restoran tersebut masih belum beroperasi lagi. Jadi, kami mengambil keputusan untuk "mencuci mata" terlebih dahulu di sekitar pusat beli belah itu, dan balik semula ke restoran tersebut pada pukul 12 tengah hari. Selepas makan, kami menggunakan perkhidmatan student cab untuk pulang ke desa masing-masing. Sesampai sahaja di desa, perutku memulas disebabkan sup tomyam yang sangat pedas tadi. Selepas menunaikan solat zuhur, aku meletakkan kepala sebentar, dan bangkit semula pada pukul 5 petang. Alangkah terujanya aku apabila mendapat berita daripada teman-teman bahawa kuliah Morfologi dibatalkan. Ini berereti aku mempunyai banyak masa lagi untuk menyiapkan tugasan Dr. Odi. Alhamdulillah.

Wednesday, 29 March 2017

Teruja

Rancanganku untuk diet gagal lagi. Hari ini aku telah mencabar diriku untuk makan pecal di Kafe Restu. Aku berasa agak menyesal selepas makan pecal tersebut. Ini kerana kepedasan kuah sambalnya membuatkan mulutku berasa kebas. Oleh itu, aku berjanji bahawa aku tidak akan lagi membeli pecal di Kafe Restu. Sejujurnya, aku lebih sukakan pecal Tekun kerana ia tidak terlampau pedas seperti pecal Restu. Lidahku juga tidak berasa kebas sebaik sahaja sambalnya terkena pada lidahku. Tetapi, sebagai seorang yang gemarkan makanan pedas, aku dan dua orang rakanku telah bercadang untuk ke Classic Steamboat pagi esok. Ini kerana kami bertiga telah lama mengidam untuk makan tomyam seafood. Tolong doakan semoga rancangan kami berjalan dengan lancar esok hari. Amin,

Tuesday, 28 March 2017

Kurangkan Gula

Rancanganku untuk makan pecal di Kafe Restu tidak kesampaian hari ini. Mungkin aku tidak akan berpeluang untuk merasai pecal di Kafe Restu sampai bila-bila. Ini kerana, aku telahpun berniat untuk meneruskan semula agenda dietku yang sudah tertangguh selama dua bulan. Oleh itu, aku bercadang untuk membeli nasi campur sahaja setiap kali tiba waktu makan tengah hari. Aku juga akan berusaha untuk mengurangkan kuantiti nasi dan lauk-pauk. Aku berharap, kali ini aku tidak akan gagal lagi. Sesungguhnya, untuk mempraktikkan gaya hidup sihat itu amatlah susah. Tambahan pula, aku seorang yang cintakan makanan manis. Setiap pagi, aku pasti akan turun ke bawah untuk membeli minuman tin latte dari mesin. Pada waktu malam pula, aku akan berjalan ke Dataran Usahawan di Tekun untuk membeli Teaffee. Aku sangat kecewa dengan tabiatku yang suka akan makanan manis. Makanan manis bukan sahaja menggemukkan, tetapi ia juga akan mendatangkan kesan buruk kepada kesihatan kita tanpa pengambilan yang terkawal. Oleh itu, aku juga ingin menasihati anda semua supaya tidak mengambil makanan yang tinggi kandungan gulanya secara kerap. Marilah kita bersama-sama mempraktikkan gaya hidup sihat!

Monday, 27 March 2017

Pecal

Pecal, atau Nasi Ayam Penyet merupakan salah satu menu yang cukup popular dalam kalangan pelajar Universiti Sains Malaysia. Ia merupakan antara menu yang menjadi kegemaran pelajar-pelajar di sini, termasuklah aku. Setiap pelajar yang menghuni di Desasiswa Restu,Tekun dan Saujana sudah pasti pernah merasai keenakan juadah ini. Aku masih ingat lagi, dahulu, hampir setiap hari aku ke kafe Tekun untuk membeli pecal selepas kelas tamat. Ia merupakan suatu kemestian bagi penghuni, atau bekas penghuni Desasiswa Tekun seperti aku untuk merasai juadah tersebut. Kini, sudah hampir dua penggal aku menghuni di Desasiswa Restu, tetapi aku masih belum berpeluang untuk merasai pecal yang dijual di Restu. Menurut beberapa orang rakanku, rasa pecal Tekun lebih enak daripada pecal yang dijual di Restu. Jadi, esok aku merancang untuk merasai pecal di Kafe Restu pula, dengan harapan supaya aku tidak sakit perut pada keesokan paginya. Insha Allah. Sehingga berjumpa lagi di entri seterusnya. Assalammualaikum.

Saturday, 25 March 2017

Rezeki

Hari ini, rezeki datang tanpa diduga. Pensyarahku telah membelanja aku dan dua orang rakan kelasku makan tengah hari. Sebenarnya, aku dan dua orang ahli kumpulanku telah mengadakan diskusi di perpustakaan seawal jam 11 pagi lagi. Lebih kurang satu jam kemudian, kami ternampak Dr. di kaunter perpustakaan. Jadi, kami mengambil keputusan untuk bertanya kepada Dr. mengenai tajuk pembentangan kerana kami kurang jelas dengan kehendak soalan tersebut. Selesai bertanya, kami kembali berbincang sehinggalah pukul 1 tengah hari. Pada jam 1.20 tengah hari, Dr. telah mempelawa kami untuk makan tengah hari bersamanya. Kami pun bersetuju. Dr. membawa kami ke restoran nasi kandar yang berdekatan, dan akibatnya, kami telah kekenyangan sehingga keesokan harinya. Oleh kerana mahu cepat, salah seorang ahli kumpulanku, Wani telah tertukar beg dengan salah seorang pelajar yang juga berkunjung ke perpustakaan tersebut. Mujur, pemilik beg itu tinggal di desasiswa Restu. Oleh kerana aku juga merupakan penghuni desasiswa Restu, jadi aku menawarkan bantuan kepada Wani untuk menukarkan begnya dengan pelajar tersebut. Terasa lucu pula apabila difikirkan kembali. Walau apa pun, aku dan rakan-rakanku sangat berterima kasih kepad Dr. kerana telah membelanja kami makan. Aku doakan supaya Dr. dimurahkan rezeki selalu. Insha Allah. Amin.

Friday, 24 March 2017

Sibuk

Sebagai seorang pelajar major Bahasa Melayu, aku tidak pernah lari dari kesibukan. Sebagai contohnya, kelmarin, sebaik sahaja aku pulang dari kelas, aku terus mengambil tempat di hadapan komputer ribaku sebaik sahaja selesai membersihkan diri. Aku dan rakan kelasku ditugaskan untuk menyediakan kuiz dengan menggunakan Google Form dan sejenis pembina kuiz talian percuma. Sejujurnya, walaupun ia merupakan pengalaman yang agak sukar bagiku, kerana itulah kali pertama aku menggunakan Google Form, tetapi setidak-tidaknya aku telah mempelajari sesuatu yang baharu. Aku mengambil masa kira-kira tiga jam untuk menyiapkan kuiz dan memuatnaiknya ke padlet seperti yang diarahkan oleh pensyarahku. Mungkin selepas ini, aku boleh menggunakan Google Form untuk membuat survey dan sebagainya pula.

Tuesday, 21 March 2017

Lain Major, Lain Ragam

Aku merupakan seorang pelajar yang bermajorkan Bahasa Melayu (BM). Sebagai seorang pelajar yang bermajorkan BM, hari-hariku memang agak sibuk. Setiap hari, ada sahaja tugasan baharu yang diberikan oleh pensyarah-pensyarahku. Sudah menjadi perkara biasa bagiku dan rakan-rakan sekelas untuk berjaga pada waktu malam, bagi menyiapkan tugasan yang diamanahkan kepada kami. Walaupun kadangkala keluhan terbit dari bibir, tetapi kami akan tetap cuba untuk menyelesaikan tugasan dengan sebaik mungkin. 

Aku mempunyai beberapa orang rakan yang bermajorkan Sejarah. Walaupun pelajar-pelajar major Sejarah tidak mempunyai tugasan yang menggunung seperti pelajar-pelajar major BM, tetapi apabila tibanya hari pembentangan, merekalah individu-individu yang paling sibuk. Aku perhatikan, mereka terpaksa berjaga hingga ke lewat malam demi menyiapkan esei dan bahan pembentangan. Namun, sesudah sahaja pembentangan tamat, merekalah individu yang paling bahagia sekali. Bagi pelajar-pelajar yang bermajorkan Geografi pula, mereka terpaksa keluar pada waktu subuh dan lewat malam untuk melakukan kerja-kerja pengukuran.

Begitulah hidup kami sehari-hari. Walaupun major kami tidak sama, tetapi kesibukan yang kami alami tidak kurang bezanya dari satu sama lain.

Monday, 20 March 2017

Terima Kasih, Ayah

Pada petang sabtu lalu, sewaktu dalam perjalanan untuk pulang ke kampung, kami telah singgah sebentar di sebuah kedai jam di kawasan Kepala Batas. Ayah ingin membelikan emak seutas jam tangan sempena ulang tahun perkahwinan mereka pada 15 Mac lalu. Sewaktu aku mula-mula masuk ke kedai jam itu, aku ternampak beberapa utas jam tangan yang sangat comel belaka. Jam-jam tangan tersebut berwarna biru lembut, pink lembut, dan hitam. Kalau ikutkan hati, memang aku mahu sahaja meminta ayah untuk membelikan jam tangan tersebut untukku. Tetapi, setelah melihat harganya, aku tidak jadi untuk melontarkan hasratku itu kepada ayah.

Ayah telah membelikan seutas jam tangan berwarna emas untuk emak. Selepas itu, emak dan ayah bertanya pula kepadaku sama ada aku berkenankan mana-mana jam yang ada di situ. Aku hanya menggeleng, dan berkata "tidak mengapa". Kemudian, ayah menunjukkan aku tiga utas jam tangan yang aku ternampak mula-mula tadi. Ayah menyuruhku memilih salah satu jam tangan yang ada di situ, Tanpa berfikir panjang lagi, aku memutuskan untuk memilih jam tangan yang berwarna biru lembut, kerana warna kegemaranku ialah biru. Aku benar-benar tidak menyangka bahawa jam tersebut akan menjadi milikku jua pada akhirnya. Terima kasih, ayah!

Gementar

Gementar ialah sejenis perasaan yang mesti dirasai oleh setiap pelajar. Misalnya, pada hari ini, aku berasa amat gementar sebelum memasuki kelas salah seorang pensyarahku. Ini kerana, pensyarahku itu memang sifatnya agak tegas berbanding pensyarahku yang lain. Setiap kali sebelum memasuki kelas, aku dan beberapa orang rakan sekelasku akan membuat persiapan awal terlebih dahulu. Kami akan mengambil langkah berjaga-jaga dengan bertanya kepada rakan kami yang lain tentang apa yang hendak dibawa ke kelas. Kami juga akan memastikan bahawa segala nota yang telah diemelkan oleh pensyarah tersebut dicetak dan dibawa masuk ke kelas. 

Sebenarnya, gementar ialah sejenis perasaan yang baik. Ini kerana, apabila kita berasa gementar, kita akan menjadi lebih bersedia untuk menghadapi sesuatu perkara. Gementar juga akan membuatkan kita lebih berdisiplin, dan menjadikan kita seorang pelajar yang bertanggungjawab dalam memikul amanah. Jadi, setiap kali anda menghadapi situasi yang merisaukan, jangan gementar. Cuba bertenang dan berfikiran positif. Ini kerana, ia akan membuat anda lebih yakin dan berani untuk berhadapan dengan orang ramai.

Sunday, 19 March 2017

Balik Kampung

Hari ini hari kedua aku berada di kampung ayahku. Aku telah bangun seawal 6.30 pagi, dan terus membersihkan diri sebelum menjamah sarapan. Sarapanku pada pagi ini agak istimewa, iaitu tiga ketul karipap yang dibuat oleh Mak Long, dan secawan kopi. Pada jam 8.00 pagi, emak telah mengajak ayah ke kampung emak yang terletak tidak jauh dari kampung ayah. Sesudah menyarung tudung, aku terus menggalas beg komputer riba, dan masuk ke dalam kereta. Sesampai di kampung emak, aku bersalaman dengan Pak Su dan Mak su, yang ketika itu sedang berada di beranda rumah. Beberapa minit selepas tiba di kampung emak, aku mengeluarkan komputer riba dan menyambung tugasanku yang masih berbaki dua soalan.

Pada kira-kira jam 11.30 pagi, aku dan keluargaku bersiap-siap untuk ke majlis kenduri yang terletak di Simpang, Taiping. Kami tiba di lokasi pada pukul 1.30 tengah hari. Antara lauk yang dihidangkan kepada tetamu di kenduri tersebut, ialah daging masak hitam, ayam masak merah, masak lemak labu, dan beberapa menu lain. Selepas mengisi perut, kami bertolak pulang ke Penang. Kami singgah sebentar di Perhentian Sg. Bakap untuk berehat kerana ayah keletihan memandu. Pada kira-kira jam 5.30 petang, kami selamat sampai di rumah.

Saturday, 18 March 2017

Dilema

Pagi tadi, aku mendapat panggilan dari emak. Emak bertanya kepadaku bilakah aku akan pulang ke rumah. Aku memberitahunya bahawa aku mungkin akan tiba di rumah lewat sedikit. Ini kerana, aku dan Afiqah telah merancang untuk makan tengah hari terlebih dahulu sebelum kami bertolak pulang. Jadi, selepas mandi, aku cepat-cepat menyiapkan diri dan mengemas pakaian untuk dibawa pulang ke rumah, kerana emak dan ayah telah berancang untuk pulang ke kampung mereka yang terletak di Perak pada petang tadi. 

Sebenarnya, aku agak berbelah bahagi untuk ikut mereka pulang ke kampung, kerana aku mempunyai banyak kerja yang perlu diselesaikan. Tetapi, aku juga tidak sanggup untuk tinggal di rumah bersendirian. Selepas berfikir masak-masak, aku mengambil keputusan untuk turut serta kerana pada pendapatku, keluarga itu lebih penting. Kerja boleh diselesaikan pada bila-bila masa sahaja. Jadi, sesampai sahaja di rumah tok, aku cepat-cepat mengeluarkan komputer riba, dan memulakan tugasan yang diberikan oleh pensyarah. Alhamdulillah, aku dapat menyiapkan tugasan tersebut dengan jayanya. 

Friday, 17 March 2017

Penang Hill

Sebenarnya, aku telah lama berhasrat untuk mengunjungi Penang Hill, tetapi baru hari ini aku berkesempatan untuk merealisasikan hasratku itu. Ayahku kurang arif tentang selok-belok kawasan Penang, jadi dia jarang bawa kami sekeluarga ke sini untuk bersiar-siar. Afiqah juga sudah berkali-kali mengajakku ke Penang Hill, tetapi aku terpaksa menolak ajakannya disebabkan tidak mempunyai wang dan masa yang mencukupi. Oleh sebab aku mempunyai sedikit lebihan wang, jadi aku telah bersetuju dengan ajakan Afiqah untuk ke Penang Hill pada hari ini. 

Seperti biasa, kami telah singgah di Nasi Kandar Deen Maju terlebih dahulu untuk mengisi perut sebelum menuju ke Penang Hill. Kami tiba di Penang Hill pada kira-kira jam 4.13 petang. Kami telah menggunakan perkhidmatan kereta api untuk naik ke puncak Penang Hill. Sesampai di puncak, aku berasa sangat teruja apabila melihat pemandangan dari atas Penang Hill. Setelah lebih kurang 30 minit kami berswafoto, kami memutuskan untuk berehat sebentar di cafe berdekatan. Kami telah memesan semangkuk ais kacang chocolate-banana dari salah satu gerai yang menjadi tumpuan pengunjung di situ, iaitu Lily Ice Kacang. 

Selepas itu, kami berjalan pula ke Love Lock Bridge yang terletak di atas kafe untuk berswafoto. Pemandangan di situ indah sekali. Aku berasa seakan-akan sedang berada di Namsan Tower, Korea Selatan. Walaupun pemandangannya tidaklah secantik pemandangan di Namsan Tower, tetapi ia sudah cukup cantik bagiku. Kami meluangkan masa hampir satu jam untuk berswafoto di Love Lock Bridge. Pada pukul 8.30 malam, kami menaiki kereta api untuk meninggalkan puncak. Begitulah serba sedikit pengalamanku sepanjang berada di Penang Hill.

Thursday, 16 March 2017

Kenny Rogers Roasters

Assalammualaikum.

Pagi tadi, Afiqah telah mengajakku ke Queensbay Mall untuk makan tengah hari. Dia telah memberitahuku bahawa Kenny Rogers Roasters sedang membuat promosi 'Beli Satu Percuma Satu'. Oleh sebab hari ini merupakan hari terakhir promosi tersebut berlangsung, jadi aku terus bersetuju. Aku cepat-cepat menaiki bas, dan menuju ke Desasiswa Aman Damai, untuk berjumpa Afiqah. Kami sampai di Queensbay Mall pada pukul 12.30 tengah hari. Sesudah memesan makanan di Restoran Kenny Rogers Roasters, Afiqah mengajakku keluar sebentar ke Restoran Secret Recipe yang berdekatan, kerana dia ingin membeli sepotong kek. Selepas membeli kek, kami kembali ke Restoran Kenny Rogers Roasters untuk mengisi perut. Secara jujurnya, aku tidak begitu menggemari makanan yang dihidangkan di restoran itu. Ayamnya sedap, tetapi sos yang dihidangkan bersama ayam itu terlalu pedas. Aku paling menggemari homemade muffinnya. Teksturnya begitu lembut, dan rasanya enak sekali. Seingat aku, harga untuk sebiji muffin hanyalah RM 2.90! Murah, bukan? Disebabkan promosi itu, kami hanya perlu membayar sebanyak RM 11 seorang. Murah dan sangat berbaloi. Namun, disebabkan kepedasan sosnya yang terlampau, aku tidak bercita-cita untuk makan di situ lagi.

Monday, 13 March 2017

Street Art Bahagian II

Aku dan Afiqah telah berkunjung sekali lagi ke Street Art pada hari Sabtu lalu kerana kami belum puas melihat kesemua mural yang terdapat di situ. Seperti biasa, sebelum kami tiba di Street Art, kami telah singgah terlebih dahulu di restoran Nasi Kandar Deen Maju untuk makan tengah hari. Untuk pengetahuan semua, jarak restoran tersebut tidaklah begitu jauh dari Street Art. Perjalanan kami hanya mengambil masa kira-kira sepuluh minit dari restoran tersebut ke Street Art.

Walaubagaimanapun, hari kami tidak berjalan dengan lancar kerana tempat letak kenderaan penuh diisi dengan kenderaan-kenderaan pengunjung yang datang ke situ. Oleh hal yang demikian, kami terpaksa meletakkan kenderaan agak jauh dari destinasi kami yang sepatutnya. Setelah meletakkan kenderaan, kami berjalan kaki menuju ke kawasan yang menjadi tumpuan pengunjung di situ. Kami menemui suatu kafe yang sangat cantik di situ. Kafe itu dihiasi dengan apungan payung berwarna-warni.

Oleh sebab kekangan masa, jadi kami terpaksa beredar dari situ pada pukul 6.30 petang. Kami tidak mahu terkandas dalam kesesakan lalu lintas, kerana kami ingin pulang ke rumah kami yang terletak di Penaga. Kami menggunakan perkhidmatan feri, dan tiba di Jetty Butterworth pada pukul 8.00 malam. 

Sunday, 12 March 2017

Street Art

Sebut sahaja Penang, pasti orang akan terbayangkan nasi kandar, pasembur dan laksa. Tidak hairanlah menagapa Penang tersenarai sebagai negeri yang kaya dengan makanan, kerana Penang memang cukup terkenal dengan kepelbagaian makanannya. Tetapi, bukan makanannya sahaja yang berupaya membuat anda terpukau. Di Penang juga ada banyak tempat menarik yang wajib dilawati apabila anda ke sini. Misalnya, Street Art! Sebagai anak kelahiran Pulau Pinang, aku agak malu untuk mengaku bahawa kelmarin merupakan kunjungan sulungku ke Street Art. Dalam entri ini, aku akan menceritakan pengalamanku semasa bersiar-siar di Street Art. 

Pada hari Jumaat lalu, aku dan Afiqah bertolak seawal 12 tengah hari dari USM, dan kami tiba di restoran Nasi Kandar Deen Maju pada kira-kira pukul 2.30. Sebelum itu, aku dan Afiqah singgah sebentar di sebuah masjid berdekatan untuk solat zohor. Selepas menjamah sepinggan nasi kandar, kami meninggalkan restoran tersebut, dan terus menuju ke Street Art. Kami telah menggunakan aplikasi Google Maps untuk memudahkan pencarian lokasi. Alhamdulillah, urusan kami dipermudahkan. Kami tiba di lokasi pada kira-kira jam 3.30 petang. Aku dan Afiqah masing-masing terpukau dengan kecantikan lukisan-lukisan dinding atau mural yang terdapat di Street Art. Kami sangat terujua dan tidak sabar untuk bergambar di setiap sudut kawasan tersebut.

Pada awalnya, kami berasa agak malu dan kekok untuk bergambar secara terbuka kerana bilangan pengunjung yang datang pada waktu itu adalah sangat ramai. Tetapi, kami hiraukan perasaan malu itu dan teruskan bergambar. Antara lukisan yang terdapat di situ, ialah lukisan beca, kanak-kanak, kucing dan banyak lagi. Kami tidak menggunakan perkhidmatan basikal yang ditawarkan di situ. Oleh itu, kami terpaksa berhenti di suatu kawasan yang redup untuk berehat kerana terlalu letih. Di kawasan itu, terdapat sebuah buaian yang diperbuat daripada besi. Kami duduk berehat di atas buaian itu sambil melihat telatah pengunjung yang datang.

Selepas hampir setengah jam berehat, kami berjalan semula. Semasa berjalan, kami terserempak dengan seorang lelaki Jepun. Kami bertanya kepadanya bagaimana mahu ke tandas. Dia memberitahu kami bahawa dia merupakan orang Jepun. Aku boleh mengagak bahawa dia tidak tahu berbahasa Melayu atau pun Inggeris. Oleh sebab teruja, kami pun mengucapkan "konichiwa" sebelum beredar. Itu sahajalah perkataan Jepun yang terlintas di fikiranku pada masa itu. Lelaki itu tersenyum, lalu mengucapkan kembali "konichiwa" sambil menundukkan kepala. Itu merupakan kali pertama aku bersua muka dengan orang Jepun. Lucu pula bila diimbas kembali.

Setelah masuk waktu solat asar, kami bergegas ke Masjid Kapitan Keling untuk menunaikan solat asar. Kami menunggu waktu maghrib tiba sebelum beredar pulang ke USM. Pada jam 8.00 malam, kami bertolak pulang ke USM semula. Sebelum pulang ke bilik masing-masing, kami telah menghadiri beberapa sesi ceramah yang diadakan di USM. Walaupun ia merupakan hari yang cukup memenatkan, tetapi itulah antara pengalaman yang paling menyeronokkan dalam hidupku.

Friday, 10 March 2017

Nasi Kandaq Deen Maju

Ya Allah. Melihat sahaja kepada tajuk entriku hari ini, aku sudah terliur, dan terbayang-bayang ayam goreng berempah Deen Maju, dan terbau-bau aroma nasi kandarnya. Kelmarin, Afiqah telah membawaku ke salah satu restoran nasi kandar yang amat popular di negeri ini. Aku belum pernah merasai kenikmatan nasi kandar asli atau original, sehinggalah kelmarin. Sebenarnya, kami telah merancang untuk pergi ke Street Art. Oleh sebab kami belum menjamah sebutir pun nasi sejak dari pagi lagi, jadi kami telah memutuskan untuk singgah di Deen Maju untuk makan tengah hari. Pada mulanya, aku kurang percaya akan keenakan nasi kandar Deen Maju. Kata orang, rasa nasi kandar original ini tidak sama seperti nasi kandar yang dijual di restoran-restoran seperi Subaidah, Nashmir dan Pelita. Afiqah juga ada menyebut, bahawa nasi kandar yang dijual di Deen Maju itu rasanya lebih kaw, lebih pedas dan lebih segala-galanya! Oleh sebab aku sangat lapar ketika itu, jadi aku turuti sahaja kemahuan Afiqah. Tidak sangka pula setiap kata-kata yang keluar dari mulut Afiqah itu benar belaka. Ternyata, nasi kandar original memang rasanya tidak sama seperti nasi kandar yang dijual di restoran-restoran biasa. Harganya pon berpatutan. Sangat berbaloi! Jadi, datanglah beramai-ramai ke restoran Nasi Kandar Deen Maju untuk merasai sendiri perbezaanya. Anda dijamin tidak akan menyesal! Untuk sesiapa yang tidak tahu di mana terletaknya restoran tersebut, aku cadangkan kalian gunakan google maps atau wave. Insha Allah, urusan kalian akan dipermudahkan. Nantikan entriku yang seterusnya mengenai Street Art!

Thursday, 9 March 2017

Rockstarz Burger

Assalammualaikum.

Ini bukan iklan berbayar.

Oleh sebab aku baik hati, jadi hari ini aku ingin mempromosikan sebuah restoran burger ala hipster yang terletak di Sungai Ara, Penang. Sebelum aku melalut lebih panjang, aku ingin ingatkan sekali lagi bahawa ini bukan iklan berbayar. Aku tidak disogok atau menerima sesen pun daripada pemilik restoran tersebut untuk mengiklankan restorannya di sini. Restoran burger yang aku maksudkan di sini dikenali sebagai Rockstarz Burger. Jika kalian perasan, aku ada menyebutnya dalam entriku sebelum ini, dan untuk pengetahuan kalian, semalam merupakan kali kedua aku menikmati hidangan makan malamku di situ. 

Rockstarz Burger menawarkan pelbagai hidangan burger yang cukup enak. Oleh sebab nama-nama burgernya agak susah untuk melekat di fikiranku, jadi aku hanya akan senaraikan beberapa burger sahaja. Antaranya, ialah The Rockstarz, The Metallicheeze, The Santanaz, dan The Carbonara Romance. Oleh sebab aku hanya pernah berkunjung ke restoran tersebut sebanyak dua kali, jadi aku belum sempat merasai kesemua burger-burger yang terdapat di situ. Antara kesemua burger yang pernah aku rasa, aku paling menggemari The Metallicheeze. Rasa daging bakarnya memang cukup enak, ditambah pula dengan cheesenya yang melimpah ruah. Walaubagaimanapun, aku kurang menggemari The Carbonara Romance kerana sos carbonaranya agak cair.

The Carbonara Romance

The Metallicheeze

The Rockstarz







Wednesday, 8 March 2017

Angah

Pagi tadi aku mendapat panggilan daripada adikku yang kedua, atau nama timangannya, Angah. Dia telah menelefonku untuk bertanya, bilakah aku akan pulang ke rumah. Tersentuh pula hatiku tatkala mendengar soalan sebegitu daripada Angah. Oleh itu, aku memberitahunya bahawa aku akan pulang ke rumah pada hari Sabtu ini. Angah tidak seperi orang lain, Dia seorang anak istimewa, atau dalam erti lain, Orang Kurang Upaya (OKU). Angah tidak boleh bertutur secara normal seperti budak-budak lelaki sebayanya walaupun umurnya kini sudah mencecah 20 tahun. 

Walaupun aku merupakan kakak sulung, tetapi aku mengaku, aku memang sangat manja dengan keluargaku, termasuk Angah. Setiap kali aku berbual dengan Angah, aku akan menggunakan intonasi suara kanak-kanak secara automatiknya. Kadangkala, aku berasa seolah-olah Angah lebih tua daripadaku. Tetapi, Angah tetap sabar melayan karenahku yang kebudak-budakkan.  Angah merupakan seorang anak yang rajin. Dia gemar membantu ayahku mencuci kereta, dan membantu emak berniaga. Oleh sebab dia tidak seperti budak-budak lain, kadangkala dia bersikap agresif, terutamanya apabila anginnya tidak baik. Namun, sebagai keluarganya, kami tetap melayan karenahnya dengan sabar. 

Tuesday, 7 March 2017

Sahabat

Assalammualaikum, dan selamat pagi.

Entri aku pada pagi ini akan mengisahkan tentang seorang rakan baikku, yang bernama Aqilah. Aku dan Aqilah telah bersahabat baik sejak kami berada di Tingkatan 4 lagi. Walaupun kami belajar di sekolah rendah yang sama, dan merupakan rakan sekelas sewaktu di Darjah 3, tetapi kami jarang-jarang bersembang, dan tidaklah seakrab seperti sekarang. Keputusan UPSRku melayakkan aku ke salah sebuah sekolah bestari di Bagan Ajam, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Onn (SMKDOB). Takdir bagai ingin mempertemukan kami semula, Aqilah juga bersekolah di situ. Aku tidak hairan kerana Aqilah memang seorang pelajar yang pandai. Walaupun kami belajar di satu sekolah yang sama, tetapi kami tidak pernah bersembang kerana Aqilah ditempatkan di kelas yang berlainan daripadaku. Sewaktu di Tingkatan 4, kami bertemu semula sebagai rakan sekelas. Pada waktu yang sama, kami merupakan friends di Facebook. 

Persahabatan kami mulai terjalin apabila kami berkongsi minat yang sama, iaitu kedua-dua kami menyukai K-pop. Kami juga sering meninggalkan komen di status Facebook satu sama lain. Pada suatu hari, Aqilah dan aku sedang bersembang-sembang mengenai salah satu boyband Korea yang cukup terkenal, iaitu 2PM. Aqilah merupakan seorang peminat 2PM. Aku tidak mengenali seorang pun anggota boyband itu, kecuali Nichkhun. Keeseokan harinya, aku ternampak video boyband Korea itu, dan BAAAAM! Aku terjebak sekali untuk meminati boyband itu. Sejak dari itulah kami mulai rapat. Aku masih ingat, bagaimana aku dan Aqilah sering bersembang di dalam kelas sewaktu guru sedang mengajar. Memang lucu jika diingatkan kembali. Tetapi, aku ingin nasihatkan supaya janganlah ikut jejak langkah kami, kerana ia merupakan sautu perbuatan yang tidak beradab. Aneh, bukan? Gara-gara berkongsi minat yang sama, kami menjadi kawan, atau lebih tepat, sahabat.

Classic Bowl Steamboat

Hari ini merupakan hari kedua aku dan Afiqah meluangkan waktu bersama-sama di Pusat Beli Belah Bukit Jambul, atau nama singkatannya BJ. Kami telah pergi ke BJ untuk menikmati hidangan steamboat berharga serendah RM 5 untuk sekepala. Restoran steamboat itu terletak di tingkat paling atas, iaitu di tingkat lima. Untuk pergi ke restoran itu, seseorang perlu menggunakan lif atau tangga bergerak. Restoran itu menawarkan pelbagai set steamboat kepada para pelanggannya dengan harga bermula serendah RM 5. Selain steamboat, makanan lain yang turut terdapat di situ ialah makanan western seperti chicken chop dan sebagainya. Berbaloi, bukan? Restoran itu dikenali sebagai Classic Bowl. Untuk mereka yang ingin menikmati steamboat pada harga serendah RM 5, bolehlah datang beramai-ramai ke Classic Bowl di BJ. Selamat menjamu selera!



Monday, 6 March 2017

Kisah Jumaat Lepas Bahagian II

Entri ini merupakan sambungan daripada entri kelmarin. [lihat sini]

Dalam bahagian kedua ini, aku akan menceritakan kisah kami setelah selesai membeli beg di Penang Road. Setelah selesai membeli barang yang diingini di Penang Road, kami seterusnya meneruskan perjalanan ke Queensbay Mall untuk makan tengah hari dan membeli pakaian. Sebenarnya, kami telah lama bercadang untuk pergi ke pusat membeli belah. Kebetulan pula, kami berdua mempunyai kelapangan masa pada hari Jumaat tersebut, jadi kami mengambil keputusan untuk pergi ke Queensbay Mall bersama-sama. Sebelum kami sampai di Queensbay Mall, Afiqah telah bercadang untuk membawaku makan tengah hari di Nasi Kandar Deen Maju, tetapi malangnya kedai itu masih belum beroperasi pada ketika itu. Barangkali kami datang terlalu awal. Oleh hal yang demikian, kami memutuskan untuk makan tengah hari di Queensbay Mall. 

Sebelum makan, kami sempat bersiar-siar di AEON. Setelah berkali-kali aku mengadu kelaparan kepada Afiqah, barulah kami memutuskan untuk pergi ke Restoran Kentucky Fried Chicken (KFC) bagi menjamah hidangan tengah hari. Aku hanya memesan semangkuk Nasi Shoyuken atau dalam bahasa Inggerisnya, Shoyuken Rice Bowl untuk hidangan tengah hariku. Harga nasi tersebut hanyalah RM 5.90. Selepas makan, kami beredar pula ke beberapa lot kedai yang terletak di dalam Queensbay Mall. Aku telah membeli sepasang seluar jeans dan sepasang baju, manakala Afiqah pula telah membeli dua pasang skirt. Hampir 7 jam kami bersiar-siar di dalam Queensbay Mall. Pada kira-kira jam 6.30 petang, kami telah beredar dari Queensbay, dan menuju pula ke sebuah restoran ala hipster yang menjadikan burger sebagai menu utamanya untuk makan malam. Restoran tersebut dikenali sebagai Rockstarz Burger, dan lokasinya terletak di Sungai Ara. Setelah selesai makan, kami pulang ke desa masing-masing. Begitulah perjalan hari Jumaat aku yang lepas.


Sumber gambar: google

Sunday, 5 March 2017

Kisah Jumaat Lepas

Entri ini merupakan sambungan daripada entri hari Jumaat lepas [lihat sini].

Baiklah. Entri pada hari ini akan berkisarkan perjalanan hari Jumaat aku yang lepas. Seperti yang disebutkan dalam entri sebelum ini, aku dan Afiqah telah bercadang untuk pergi ke Komtar atau Pusat Bandar pada hari Jumaat tersebut. Tujuan kami ke sana adalah kerana Afiqah ingin membeli beg. Pada awalnya, perjalanan kami tidak berjalan dengan lancar kerana kami telah tersesat. Kami telah singgah di satu lorong yang agak sempit yang dinamakan sebagai "Little India". Walaupun kami berdua berasal dari Pulau Pinang, tetapi itulah kali pertama kami menjejakkan kaki di "Little India". Oleh hal yang demikian, kami mengambil keputusan untuk berhenti sebentar di "Little India" untuk mengambil gambar. Kami berasa sangat teruja pada ketika itu. Kami juga berasa seolah-olah kami berada di negara orang kerana majoriti masyarakat di situ berbangsa India. Oleh kerana kami tidak tahu bagaimana caranya untuk pergi ke destinasi yang diingini, jadi kami mengambil keputusan untuk bertanya kepada peniaga di situ. Setelah mendapatkan jawapan daripada peniaga di situ, kami meneruskan perjalanan ke Penang Road untuk membeli beg. Itulah kali pertama kami menjejakkan kaki di "Little India". Bagi aku, ia merupakan suatu pengalaman yang cukup berharga. Aku terpaksa mengakhiri ceritaku di sini, tetapi jangan khuatir kerana aku akan ceritakan kisah selebihnya esok. Insha Allah.

Sumber gambar: google

Saturday, 4 March 2017

Berdamailah

Hari ini aku ingin membuat sedikit ulasan mengenai sebuah artikel yang telah aku peroleh daripada portal rasmi Sinar Harian. Berdasarkan artikel ini [lihat sini], unsur islamophia dapat dilihat dengan jelas melalui tindakan pihak sekolah tinggi Jerman yang melarang secara keras sebarang aktiviti keagamaan dalam kalangan pelajar muslim. Ini merupakan suatu perkara yang aku rasakan tidak wajar sama sekali, kerana perbuatan ini bukan sahaja akan menyebabkan semangat anti Islam yang semakin menebal dalam kalangan pelajar yang tidak beragama Islam, malah tindakan tersebut juga akan memecahbelahkan perpaduan dalam kalangan masyarakat di Jerman. Hal ini boleh diibaratkan sebagai pepatah Melayu iaitu “kerana nila setitik, rosak susu sebelanga”.

Tindakan pihak sekolah yang disifatkan sebagai ‘biased’ atau berat sebelah dan tidak rasional itu juga mungkin juga akan menimbulkan kekerasan langsung atau direct violence, iaitu di mana pelajar-pelajarnya akan melakukan perbuatan yang boleh mencederakan satu sama lain. Perkara ini bukan sahaja akan membahayakan keselamatan pelajar, tetapi ia juga akan memberikan imej negatif kepada sekolah tersebut kerana kegagalan pihak sekolah untuk mengawal disiplin dan sikap para pelajarnya. Akhir sekali, konflik ini juga mungkin akan menyebabkan pergaduhan atau peperangan antara negara Islam dan negara bukan Islam.

Kredit: Sinar Harian

Friday, 3 March 2017

Kebahagiaan itu sementara

Mengikut perancanganku, pada malam ini, sepatutnya aku sudah berada di rumah bersama-sama dengan keluargaku. Tetapi apakan daya, sebagai manusia, kita hanya mampu merancang. Aku terpaksa menunda rancanganku untuk pulang ke kampung ke keesokan harinya. Walaupun aku mempunyai banyak masa terluang pada hari ini, tetapi kepenatan yang aku rasakan tidak jauh bezanya dengan hari-hari sebelumnya. Aku dan rakanku, Afiqah bertolak dari USM ke Pusat Bandar pada pukul 9 pagi, dan kami tiba di desa masing-masing pada jam 11 malam. Sebenarnya, kami telah merancang untuk keluar bersama-sama pada hari ini. Aku gembira sekali apabila Afiqah memberitahuku bahawa dia akan menumpangkan aku untuk pulang ke rumah, memandangkan rumah kami terletak berdekatan dengan satu sama lain. Tetapi, niat kami untuk pulang ke rumah terpaksa dibatalkan kerana keadaan jalan yang terlalu sesak. Oleh hal yang demikian, kami telah membuat keputusan untuk menginap di desa masing-masing pada malam ini, dan pulang ke kampung pada keesokan harinya. Benarlah kata orang; kebahagiaan itu sifatnya sementara. 

Thursday, 2 March 2017

Berapa harga nasi kau?

Harga makanan selalu menjadi satu isu yang hangat diperkatakan dalam kalangan pelajar universiti. Sebagai seorang pelajar universiti, aku mengaku bahawa kenaikan harga barang telah memberikan impak yang agak besar kepada perbelanjaan seharianku. Sekiranya dahulu aku membelanjakan RM10 sehari untuk sarapan, makan tengah hari dan makan malam, kini aku hanya mengehadkan perbelanjaanku kepada RM5 sehari untuk makanan. Nasi campur yang dijual di Kafe Restu selalu menjadi pilihanku. Walaupun harganya tidaklah semurah nasi campur yang dijual di Kafe Indah Kembara, tetapi harganya masih berpatutan, dan masih berada di bawah tahap kemampuanku. Satu perkara yang menjadi kebiasaan dalam kalangan pelajar di sini ialah, hampir setiap hari kami akan menanyakan soalan yang sama kepada satu sama lain, iaitu; "berapa harga nasi kau?"; "lauk apa yang kauambil hari ini?"; "nak makan di mana?". Walaupun ia kedengaran agak lucu, tetapi inilah realiti yang berlaku dalam kalangan kami yang bergelar mahasiswa.

Wednesday, 1 March 2017

Sahabat

Aku mempunyai seorang rakan baik yang sedang menuntut bersama-samaku di USM. Kami berkawan baik sejak di bangku sekolah rendah lagi. Dia tinggal tidak berjauhan dari rumahku. Namanya, Afiqah. Sejak dahulu lagi, kami memang selalu bermain bersama-sama. Pada waktu petang, aku akan ke rumahnya untuk bermain badminton. Selepas itu, kami akan berehat di luar rumahnya sambil bersembang kosong. Setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Kami terpaksa membawa haluan masing-masing selepas UPSR kerana Afiqah telah berpindah ke Maktab Mahmud, manakala aku pula telah melanjutkan pelajaranku di SMK Dato' Onn. Walaupun kami jarang berjumpa selepas itu, namun persahabatan kami tidak pernah terputus sehingga kini. 

Jodoh mempertemukan kami semula di Tingkatan Enam. Sewaktu kami di Tingkatan Enam, kami selalu bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran di satu menara gading yang sama. Tidak sangka pula angan-angan kami akan menjadi nyata! Walaupun kami belajar di satu universiti yang sama, tetapi kesibukan telah menghalang kami daripada berjumpa. Namun, kami tidak akan melepaskan kesempatan untuk berjumpa sekiranya ada kelapangan waktu. Pasti ada sahaja cerita lucu yang ingin dikongsikan setiap kali kami bersua muka. Aku sangat bersyukur kerana dikurniakan seorang sahabat baik seperti Afiqah. Dia ibaratkan kakakku walaupun kami tidak mempunyai pertalian darah sama sekali. Aku harap persahabatan kami akan berkekalan sehingga ke akhir hayat. Insha Allah.