Sunday, 19 March 2017

Balik Kampung

Hari ini hari kedua aku berada di kampung ayahku. Aku telah bangun seawal 6.30 pagi, dan terus membersihkan diri sebelum menjamah sarapan. Sarapanku pada pagi ini agak istimewa, iaitu tiga ketul karipap yang dibuat oleh Mak Long, dan secawan kopi. Pada jam 8.00 pagi, emak telah mengajak ayah ke kampung emak yang terletak tidak jauh dari kampung ayah. Sesudah menyarung tudung, aku terus menggalas beg komputer riba, dan masuk ke dalam kereta. Sesampai di kampung emak, aku bersalaman dengan Pak Su dan Mak su, yang ketika itu sedang berada di beranda rumah. Beberapa minit selepas tiba di kampung emak, aku mengeluarkan komputer riba dan menyambung tugasanku yang masih berbaki dua soalan.

Pada kira-kira jam 11.30 pagi, aku dan keluargaku bersiap-siap untuk ke majlis kenduri yang terletak di Simpang, Taiping. Kami tiba di lokasi pada pukul 1.30 tengah hari. Antara lauk yang dihidangkan kepada tetamu di kenduri tersebut, ialah daging masak hitam, ayam masak merah, masak lemak labu, dan beberapa menu lain. Selepas mengisi perut, kami bertolak pulang ke Penang. Kami singgah sebentar di Perhentian Sg. Bakap untuk berehat kerana ayah keletihan memandu. Pada kira-kira jam 5.30 petang, kami selamat sampai di rumah.

No comments:

Post a Comment