Tuesday, 28 March 2017

Kurangkan Gula

Rancanganku untuk makan pecal di Kafe Restu tidak kesampaian hari ini. Mungkin aku tidak akan berpeluang untuk merasai pecal di Kafe Restu sampai bila-bila. Ini kerana, aku telahpun berniat untuk meneruskan semula agenda dietku yang sudah tertangguh selama dua bulan. Oleh itu, aku bercadang untuk membeli nasi campur sahaja setiap kali tiba waktu makan tengah hari. Aku juga akan berusaha untuk mengurangkan kuantiti nasi dan lauk-pauk. Aku berharap, kali ini aku tidak akan gagal lagi. Sesungguhnya, untuk mempraktikkan gaya hidup sihat itu amatlah susah. Tambahan pula, aku seorang yang cintakan makanan manis. Setiap pagi, aku pasti akan turun ke bawah untuk membeli minuman tin latte dari mesin. Pada waktu malam pula, aku akan berjalan ke Dataran Usahawan di Tekun untuk membeli Teaffee. Aku sangat kecewa dengan tabiatku yang suka akan makanan manis. Makanan manis bukan sahaja menggemukkan, tetapi ia juga akan mendatangkan kesan buruk kepada kesihatan kita tanpa pengambilan yang terkawal. Oleh itu, aku juga ingin menasihati anda semua supaya tidak mengambil makanan yang tinggi kandungan gulanya secara kerap. Marilah kita bersama-sama mempraktikkan gaya hidup sihat!

No comments:

Post a Comment