Friday, 17 March 2017

Penang Hill

Sebenarnya, aku telah lama berhasrat untuk mengunjungi Penang Hill, tetapi baru hari ini aku berkesempatan untuk merealisasikan hasratku itu. Ayahku kurang arif tentang selok-belok kawasan Penang, jadi dia jarang bawa kami sekeluarga ke sini untuk bersiar-siar. Afiqah juga sudah berkali-kali mengajakku ke Penang Hill, tetapi aku terpaksa menolak ajakannya disebabkan tidak mempunyai wang dan masa yang mencukupi. Oleh sebab aku mempunyai sedikit lebihan wang, jadi aku telah bersetuju dengan ajakan Afiqah untuk ke Penang Hill pada hari ini. 

Seperti biasa, kami telah singgah di Nasi Kandar Deen Maju terlebih dahulu untuk mengisi perut sebelum menuju ke Penang Hill. Kami tiba di Penang Hill pada kira-kira jam 4.13 petang. Kami telah menggunakan perkhidmatan kereta api untuk naik ke puncak Penang Hill. Sesampai di puncak, aku berasa sangat teruja apabila melihat pemandangan dari atas Penang Hill. Setelah lebih kurang 30 minit kami berswafoto, kami memutuskan untuk berehat sebentar di cafe berdekatan. Kami telah memesan semangkuk ais kacang chocolate-banana dari salah satu gerai yang menjadi tumpuan pengunjung di situ, iaitu Lily Ice Kacang. 

Selepas itu, kami berjalan pula ke Love Lock Bridge yang terletak di atas kafe untuk berswafoto. Pemandangan di situ indah sekali. Aku berasa seakan-akan sedang berada di Namsan Tower, Korea Selatan. Walaupun pemandangannya tidaklah secantik pemandangan di Namsan Tower, tetapi ia sudah cukup cantik bagiku. Kami meluangkan masa hampir satu jam untuk berswafoto di Love Lock Bridge. Pada pukul 8.30 malam, kami menaiki kereta api untuk meninggalkan puncak. Begitulah serba sedikit pengalamanku sepanjang berada di Penang Hill.

No comments:

Post a Comment