Wednesday, 1 March 2017

Sahabat

Aku mempunyai seorang rakan baik yang sedang menuntut bersama-samaku di USM. Kami berkawan baik sejak di bangku sekolah rendah lagi. Dia tinggal tidak berjauhan dari rumahku. Namanya, Afiqah. Sejak dahulu lagi, kami memang selalu bermain bersama-sama. Pada waktu petang, aku akan ke rumahnya untuk bermain badminton. Selepas itu, kami akan berehat di luar rumahnya sambil bersembang kosong. Setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Kami terpaksa membawa haluan masing-masing selepas UPSR kerana Afiqah telah berpindah ke Maktab Mahmud, manakala aku pula telah melanjutkan pelajaranku di SMK Dato' Onn. Walaupun kami jarang berjumpa selepas itu, namun persahabatan kami tidak pernah terputus sehingga kini. 

Jodoh mempertemukan kami semula di Tingkatan Enam. Sewaktu kami di Tingkatan Enam, kami selalu bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran di satu menara gading yang sama. Tidak sangka pula angan-angan kami akan menjadi nyata! Walaupun kami belajar di satu universiti yang sama, tetapi kesibukan telah menghalang kami daripada berjumpa. Namun, kami tidak akan melepaskan kesempatan untuk berjumpa sekiranya ada kelapangan waktu. Pasti ada sahaja cerita lucu yang ingin dikongsikan setiap kali kami bersua muka. Aku sangat bersyukur kerana dikurniakan seorang sahabat baik seperti Afiqah. Dia ibaratkan kakakku walaupun kami tidak mempunyai pertalian darah sama sekali. Aku harap persahabatan kami akan berkekalan sehingga ke akhir hayat. Insha Allah.

No comments:

Post a Comment