Sunday, 12 March 2017

Street Art

Sebut sahaja Penang, pasti orang akan terbayangkan nasi kandar, pasembur dan laksa. Tidak hairanlah menagapa Penang tersenarai sebagai negeri yang kaya dengan makanan, kerana Penang memang cukup terkenal dengan kepelbagaian makanannya. Tetapi, bukan makanannya sahaja yang berupaya membuat anda terpukau. Di Penang juga ada banyak tempat menarik yang wajib dilawati apabila anda ke sini. Misalnya, Street Art! Sebagai anak kelahiran Pulau Pinang, aku agak malu untuk mengaku bahawa kelmarin merupakan kunjungan sulungku ke Street Art. Dalam entri ini, aku akan menceritakan pengalamanku semasa bersiar-siar di Street Art. 

Pada hari Jumaat lalu, aku dan Afiqah bertolak seawal 12 tengah hari dari USM, dan kami tiba di restoran Nasi Kandar Deen Maju pada kira-kira pukul 2.30. Sebelum itu, aku dan Afiqah singgah sebentar di sebuah masjid berdekatan untuk solat zohor. Selepas menjamah sepinggan nasi kandar, kami meninggalkan restoran tersebut, dan terus menuju ke Street Art. Kami telah menggunakan aplikasi Google Maps untuk memudahkan pencarian lokasi. Alhamdulillah, urusan kami dipermudahkan. Kami tiba di lokasi pada kira-kira jam 3.30 petang. Aku dan Afiqah masing-masing terpukau dengan kecantikan lukisan-lukisan dinding atau mural yang terdapat di Street Art. Kami sangat terujua dan tidak sabar untuk bergambar di setiap sudut kawasan tersebut.

Pada awalnya, kami berasa agak malu dan kekok untuk bergambar secara terbuka kerana bilangan pengunjung yang datang pada waktu itu adalah sangat ramai. Tetapi, kami hiraukan perasaan malu itu dan teruskan bergambar. Antara lukisan yang terdapat di situ, ialah lukisan beca, kanak-kanak, kucing dan banyak lagi. Kami tidak menggunakan perkhidmatan basikal yang ditawarkan di situ. Oleh itu, kami terpaksa berhenti di suatu kawasan yang redup untuk berehat kerana terlalu letih. Di kawasan itu, terdapat sebuah buaian yang diperbuat daripada besi. Kami duduk berehat di atas buaian itu sambil melihat telatah pengunjung yang datang.

Selepas hampir setengah jam berehat, kami berjalan semula. Semasa berjalan, kami terserempak dengan seorang lelaki Jepun. Kami bertanya kepadanya bagaimana mahu ke tandas. Dia memberitahu kami bahawa dia merupakan orang Jepun. Aku boleh mengagak bahawa dia tidak tahu berbahasa Melayu atau pun Inggeris. Oleh sebab teruja, kami pun mengucapkan "konichiwa" sebelum beredar. Itu sahajalah perkataan Jepun yang terlintas di fikiranku pada masa itu. Lelaki itu tersenyum, lalu mengucapkan kembali "konichiwa" sambil menundukkan kepala. Itu merupakan kali pertama aku bersua muka dengan orang Jepun. Lucu pula bila diimbas kembali.

Setelah masuk waktu solat asar, kami bergegas ke Masjid Kapitan Keling untuk menunaikan solat asar. Kami menunggu waktu maghrib tiba sebelum beredar pulang ke USM. Pada jam 8.00 malam, kami bertolak pulang ke USM semula. Sebelum pulang ke bilik masing-masing, kami telah menghadiri beberapa sesi ceramah yang diadakan di USM. Walaupun ia merupakan hari yang cukup memenatkan, tetapi itulah antara pengalaman yang paling menyeronokkan dalam hidupku.

No comments:

Post a Comment