Monday, 20 March 2017

Terima Kasih, Ayah

Pada petang sabtu lalu, sewaktu dalam perjalanan untuk pulang ke kampung, kami telah singgah sebentar di sebuah kedai jam di kawasan Kepala Batas. Ayah ingin membelikan emak seutas jam tangan sempena ulang tahun perkahwinan mereka pada 15 Mac lalu. Sewaktu aku mula-mula masuk ke kedai jam itu, aku ternampak beberapa utas jam tangan yang sangat comel belaka. Jam-jam tangan tersebut berwarna biru lembut, pink lembut, dan hitam. Kalau ikutkan hati, memang aku mahu sahaja meminta ayah untuk membelikan jam tangan tersebut untukku. Tetapi, setelah melihat harganya, aku tidak jadi untuk melontarkan hasratku itu kepada ayah.

Ayah telah membelikan seutas jam tangan berwarna emas untuk emak. Selepas itu, emak dan ayah bertanya pula kepadaku sama ada aku berkenankan mana-mana jam yang ada di situ. Aku hanya menggeleng, dan berkata "tidak mengapa". Kemudian, ayah menunjukkan aku tiga utas jam tangan yang aku ternampak mula-mula tadi. Ayah menyuruhku memilih salah satu jam tangan yang ada di situ, Tanpa berfikir panjang lagi, aku memutuskan untuk memilih jam tangan yang berwarna biru lembut, kerana warna kegemaranku ialah biru. Aku benar-benar tidak menyangka bahawa jam tersebut akan menjadi milikku jua pada akhirnya. Terima kasih, ayah!

No comments:

Post a Comment