Friday, 14 April 2017

Adab Ketika Berkomunikasi

      Definisi komunikasi itu sangat luas. Ia tidak terhad kepada proses pertuturan semata-mata, tetapi ia juga merangkumi proses penulisan. Sejak di bangku sekolah lagi, manusia telah diajar dan dilatih mengenai adab-adab untuk berkomunikasi dengan betul. Namun, jika kita tinjau situasi yang berlaku pada hari ini, kebanyakan individu tidak mengaplikasikan ilmu yang telah dipelajari mereka dalam kehidupan seharian. Mereka sering kali mengabaikan penggunaan bahasa yang betul ketika berkomunikasi dengan orang luar. Tahukah anda bahawa bahasa itu dapat mencerminkan peribadi seseorang? Melalui penggunaan bahasa yang beradab, kita sebenarnya bukan sahaja dapat menonjolkan diri kita sebagai seorang insan yang berilmu, tetapi pada masa yang sama, kita juga dapat menaikkan taraf bahasa kebangsaan kita di persada dunia. Namun, mengapa kita dapati majoriti masyarakat pada hari ini tidak menggunakan bahasa yang beradab ketika berkomunikasi?

      Pada pandangan saya, perkara ini berpunca daripada budaya orang Melayu yang terlalu suka akan perkara yang mudah sehinggalah mereka terbawa-bawa untuk menggunakan bahasa yang "mudah" ketika berkomunikasi dengan orang. Contohnya, terdapat ramai pengguna Instagram, Twitter dan Facebook yang terlampau suka menggunakan bahasa tidak formal seperti bahasa slanga. Istilah-istilah baru telah dicipta untuk tujuan publisiti. Antara istilah tersebut ialah pishang, awek, cikaro, dan sebagainya. Istilah-istilah tersebut kemudiannya digunapakai oleh pengguna-pengguna laman sosial lain dengan alasan mereka mahu mengikut trend. Selain itu, terdapat juga pengguna yang menggunakan ejaan yang tidak betul semasa memuat naik status ke laman sosial. Perkataan seperti 'tak' dieja dengan menggunakan simbol 'x'. Tidakkah kita sedar bahawa budaya kita yang terlampau suka menggunakan bahasa "mudah" ini akan menyebabkan orang luar mentertawa-tawakan kita dalam senyap?

      Oleh itu, saya ingin menyeru kepada orang ramai supaya sentiasa perbaiki bahasa anda tidak kiralah dengan siapa pun anda berbicara. Hentikanlah segala bentuk penyingkatan ejaan. Gunakan ejaan penuh ketika memuat naik status ke laman sosial. Sekiranya anda terlihat rakan-rakan anda mencipta istilah yang pelik-pelik, tegurlah mereka. Jangan pula anda terikut-ikut sekali untuk menggunakan istilah-istilah tersebut. Janganlah gara-gara mahu mengikut trend, anda terjebak sekali untuk menggunakan bahasa yang tidak betul, Elakkanlah segala bentuk pencemaran bahasa kerana bahasa itu dapat mencerminkan adab kita. Adab pula mencerminkan peribadi kita, sama ada peribadi yang positif ataupun sebaliknya. 

Setakat itu sahaja entri saya pada hari ini. Terima kasih kerana membaca. Semoga kita bertemu lagi di entri berikutnya. Insha Allah.

No comments:

Post a Comment